KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah mengenal pasti calon jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menggantikan Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib pada 9 Mei lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata proses yang sewajarnya bagi pemilihan itu sudah diikuti dan perlu menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Sudah (mengenal pasti calon). Kita sudah ikut prosesnya dan akhirnya ia harus mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas merasmikan Pameran Era Pasca Normal MADANI di sini, hari ini.
Abdul Ghani bersara wajib mulai 9 Mei lalu selepas mengetuai badan itu selama empat tahun, bermula Ogos 2020.
Mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom yang menggesa pelantikan pengerusi dan anggota suruhanjaya itu dilaksanakan dengan lebih telus, Perdana Menteri berkata, beliau memahami pandangan yang disuarakan itu.
Bagaimanapun kata Perdana Menteri, Azmi sebagai Timbalan Pengerusi tidak terbabit dalam proses pelantikan pengerusi.
“Tentunya kita tidak berunding dengan Timbalan Pengerusi mengenai siapa yang kita akan pilih. Kita perlu melalui proses,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.