Oleh Rusyaidi Hafiz Shahid
HULU SELANGOR: Calon untuk Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan (DUN) Kuala Kubu Bharu masih belum ditentukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu masih belum dibincangkan bersama kepimpinan parti di dalam Kerajaan Perpaduan.
“Belum berbincang dengan siapa-siapa lagi berkenaan ini.
“Saya datang untuk menunaikan solat jumaat dan hadiri jamuan raya,” ujar Datuk Seri Anwar ringkas ketika ditanya mengenai perkara itu.
Selepas makan tengah hari, beliau meluangkan masa dan beramah mesra bersama pengurusan masjid serta jemaah pada majlis jamuan hari raya yang diadakan di Masjid Bandar Utama Batang Kali.
Anwar bersama hampir 500 jemaah lain turut mendengar khutbah bertajuk “Bagaimana Kita Menyambut Syawal?” bersempena Aidilfitri, sebelum menunaikan solat Jumaat.
Beliau yang tiba di masjid itu pada 12.24 tengah hari, disambut bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah serta pengurusan masjid dan jemaah yang hadir.
Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan.
Jamuan itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu pelbagai kaum yang berpakaian berwarna-warni, sekali gus memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.