TAMPIN: Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir patah kaki kiri selepas terbabit kemalangan jalan raya di Jalan Pasir Besar, dekat sini, awal pagi tadi.
Nahas kira-kira jam 3 pagi turut menyebabkan pembantu kepada calon Pilihan Raya Negeri (PRN) itu parah.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Bahau menuju ke Palong.
“Pada jam 3 pagi tadi, berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu Datuk Mohd Zaidy, iaitu calon BN bagi DUN Jeram Padang bersama pembantunya.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika beliau dalam perjalanan ke Palong dari arah Bahau melalui Jalan Pasir Besar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anuwal berkata, akibat kemalangan, Mohd Zaidy mengalami patah kaki kiri, manakala penumpang parah dan dikejarkan ke Hospital Jempol untuk rawatan segera sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin di talian 064412502 dan Bilik Gerakan IPD Tampin di talian 064431999 bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan punca kemalangan masih dalam siasatan,” katanya.
Terdahulu, dalam kenyataan di Facebook, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan calon berkenaan yang juga sahabatnya terbabit kemalangan itu.
Mohd Zaidy bertembung dengan calon Perikatan Nasional (PN) S Surash pada PRN 12 Ogos ini.