Tumpuan :
Nasional

Cadangan tingkat caruman KWSP majikan 20% tidak wajar – MEF


Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Cadangan untuk meningkatkan kadar caruman majikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahagian majikan kepada 20 peratus adalah tidak wajar.

Pengarah Eksekutif Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata sekiranya cadangan itu hendak dilaksanakan, caruman perlu dibuat secara bersama antara majikan dan pekerja.

“Kadar caruman yang dicadangkan iaitu meningkatkan caruman kepada 20 peratus untuk pekerja-pekerja bergaji dibawah RM4,000 sebulan adalah terlalu tinggi.

“Ianya akan membuatkan banyak syarikat-syarikat gulung tikar.

“Isu yang lebih besar adalah bagaimana kita harus menangani peningkatan kos sara hidup yang tinggi,” katanya kepada Buletin TV3.

Jelasnya cadangan itu akan melibatkan penambahan kos yang besar seterusnya memberikan kesukaran kepada majikan Industri Kecil dan Sederhana IKS serta pengusaha perniagaan mikro.

Tambahnya, cadangan berkenaan juga perlu dikaji dan diperhalusi agar pandangan semua pihak terbabit dapat diambil kira.

“MEF berpendapat bahawa peningkatan caruman majikan kepada 20 peratus itu akan melibatkan kos yang besar.

“Ini (cadangan berkenaan) akan menyukarkan majikan-majikan terutamanya majikan IKS dan juga pengusaha perniagaan mikro,” katanya.

Sebaliknya, beliau menyarankan kerajaan untuk menangani peningkatan kos sara hidup agar rakyat dapat menikmati hidup yang lebih selesa tanpa bergantung kepada simpanan KWSP semata-mata.

“Kerajaan harus menangani isu peningkatan kos sara hidup supaya rakyat akan dapat hidup dengan lebih selesa dan tidak bergantung kepada simpanan di dalam KWSP untuk menyara kehidupan mereka.

“Satu formula menang-menang diantara pihak kerajaan, pihak pekerja dan majikan hendaklah dicapai supaya rakyat, majikan dan kerajaan akan dapat menangani isu kos sara hidup dengan lebih baik,” kata Pengarah Eksekutif MEF itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan cadangan menaikkan kadar caruman KWSP bahagian majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini akan dibincang oleh kerajaan.

Perdana Menteri memaklumkan, cadangan berkenaan sudah dikemukakan, tetapi belum dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

Loading...
Terkini