Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Cadangan sistem kupon minyak masak peket dibawa ke mesyuarat NACCOL minggu depan

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Cadangan penggunaan sistem kupon pembelian minyak masak pek polibeg satu kilogram bersubsidi dalam usaha membanteras ketirisan bekalan di pasaran akan dibawa pada mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) minggu depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sarah Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, selain disasarkan kepada isi rumah B40, sistem kupon berkenaan turut dinikmati pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Beliau berkata, syor itu antara yang dibincangkan dalam sesi libat urus kementeriannya bersama pemain indutri minyak masak dan wakil Persatuan Pengilang Minyak Masak Malaysia seperti Sime Darby Oils serta FGV Holdings Bhd di sini hari ini.

“Kita telah bincang termasuk memperkenal sistem kupon subsidi bukan hanya pada isi rumah B40 tetapi kita cuba kenal pasti pengusaha IKS seperti penjual pisang goreng, peniaga warung, pengusaha kantin dan kedai yang bergiat aktif dalam IKS yang perlukan minyak masak peket.

“Secara holistik dan komprehensif, pegawai kementerian akan terus meneliti supaya data-data dapat dikemaskini supaya golongan sasar ini dapat menikmati harga subsidi minyak masak peket.

“Kementerian sebelum ini telah bincang dan kemukakan perkara ini (sistem kupon) menerusi cadangan subsidi bersasar namun masih belum diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, isu kekurangan bekalan minyak masak peket yang dijual pada harga RM2.50 di peringkat peruncitan masih berterusan terutama di kawasan pedalaman.

Sedangkan kuota bekalan yang disubsidi oleh kerajaan ialah sebanyak 60,000 tan metrik sebulan.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Salahuddin berkata, cadangan lain yang akan diusulkan pada mesyuarat NACCOL adalah pelaksanaan harga minyak dua peringkat untuk pasaran domestik dan eksport.

Katanya, pihak industri besar minyak sawit bersedia untuk mempertimbangkan syor tersebut sebagai jalan keluar mengatasi kemelut minyak masak peket pada masa akan datang.

“Pelaksanaan harga minyak masak dua peringkat yang akan diperincikan ini akan mengambil kira semua aspek. Sebarang pendekatan dan pendirian yang dibuat kementerian akan memberi manfaat kepada rakyat iaitu dapat membeli minyak masak pada harga berpatutan.

“Apa-apa keputusan yang dipersetujui (dalam mesyuarat NACCOL) maka satu kertas memorandum (Jemaah Menteri) akan dibawa, kalau melibatkan polisi atau perkara yang memerlukan keputusan Kabinet,” katanya.

Loading...
Terkini