KAJANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menganggap cadangan ujian saringan air kencing sebagai prosedur operasi standard (SOP) bagi pengunjung konsert tidak praktikal kerana prosesnya memakan masa lama.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, menegaskan keutamaan perlu diberikan kepada program pencegahan penyalahgunaan dadah.
“Konsert bukannya berlangsung di sebuah dewan tetapi stadium. Proses pengambilan sampel air kencing bukan sembarangan. Ia membabitkan proses tertentu bagi menentukan keputusan positif atau negatif, dan proses itu mengambil masa yang panjang.
“Justeru, usaha yang perlu difokuskan sekarang ialah program pencegahan (penyalahgunaan dadah). Saya melihat program pencegahan dan kempen itu lebih ampuh.
“Kita perlu mempergiatkan kempen dan aktiviti pencegahan secara lebih meluas,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Amanat Ketua Pengarah Dan Perhimpunan Bulanan AADK 2025, di sini, hari ini.
Beliau berkata, AADK bersedia menjalankan ujian secara rawak tetapi bukan untuk keseluruhan pengunjung kerana jumlah yang terlalu ramai.
Ruslin juga mencadangkan agar logo antidadah dicetak pada tiket konsert serta menayangkan video atau slaid antidadah sebelum konsert bermula.
“Satu lagi cadangan ialah menerapkan konsep kehadiran atau ‘omnipresence’. Contohnya sebelum konsert berlangsung pada waktu malam, AADK boleh datang pada sebelah petang bersama pasukan pencegahan dan bertemu orang ramai serta memberikan pendedahan. Kita boleh menunjukkan kepada orang ramai mengenai bentuk pil dadah dan sebagainya… kerana sebahagian daripada mereka tidak tahu,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Selangor akan mengesyorkan supaya ujian saringan air kencing dijadikan antara SOP terhadap pengunjung dalam usaha mengelak sebarang pembabitan dan pengambilan dadah ketika penganjuran konsert di negeri itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.