Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa, Fahiz Ariff
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti langkah untuk meminda Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT), Akta 486, supaya aset negara dan hak kepentingan awam dapat dipertahankan.
Ia susulan keputusan mahkamah untuk pemulangan semula lebih 263 ekar tanah di Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pindaan akta itu bagaimanapun tidak boleh bercanggah dengan Perkara 13 Hak terhadap harta, sementara menghormati hak milik perseorangan.
“Kita sedang meneliti langkah untuk meminda undang-undang supaya kita pertahankan hak negara dan hak kepentingan awam dan tentunya ia tidak boleh bercanggah artikel 13 dalam perlembagaan, sementara menghormati hak milik perseorangan terhadap kes ini.
“Ia melibatkan Tanah Masjid Wilayah Persekutuan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Stadium Hoki Tun Razak, Pusat Tennis Tun Razak, Kompleks Kerajaan Jalan Duta.
“Sebab itu lah kerajaan terus menggunakan jalur undang-undang merayu terhadap keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah.
“Terakhir, keputusan Mahkamah Tinggi untuk menguat kuasa pindah milik Semantan Estate Sdn Bhd dan kerajaan masih terus merayu, ” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat mengenai langkah kerajaan dalam menyelesaikan kemelut Duta Enclave di Mukim Batu, susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemulangan semula tanah di Jalan Duta kepada sebuah syarikat swasta yang memberikan implikasi serius kepada negara dalam pelbagai aspek.
Tambah Datuk Seri Anwar, kerajaan masih merayu keputusan pindah milik tanah tersebut dan menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk proses perundangan.
Jelas Perdana Menteri, rundingan masih diteruskan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan telah mengadakan dua perbincangan dengan pihak terbabit.
“Saya rasa ruang harus diberikan kepada kerajaan runding, menekankan kepada mereka bahawa ini projek kerajaan sejak 1956 dan kalau perlu kita lihat seperti yang dilakukan Jabatan Peguam Negara sekarang meneliti aspek perundangan supaya undang-undang diperketatkan kepentingan awam tidak boleh dikorbankan.” ujarnya.
Untuk rekod, 23 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah itu selepas mengisytiharkan pengambilannya oleh kerajaan pada 1956 adalah tidak sah.
Menerusi alasan penghakiman setebal 12 muka surat, Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata bahawa kesilapan telah berlaku dalam pengambilan tersebut, menyebabkan kerajaan telah dan masih menduduki tanah itu secara tidak sah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.