Oleh: Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Cadangan penukaran nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia tidak akan dibawa ke kabinet susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, beliau akur dengan titah baginda yang tidak berkenan dengan cadangan tersebut, selain enggan memanjangkan isu terbabit.
“Saya ambil maklum keputusan yang dibuat baginda Sultan Selangor dan Pro Canselor UPM adalah muktamad.
“Saya tidak mahu panjangkan isu ini lagi, keputusan daripada Pro Canselor dan baginda Sultan Selangor adalah muktamad.
“Saya akur itu keputusan yang baik, tugas kita bagaimana nak angkat martabat bersama-sama dengan kakitangan akademik dan sebagainya untuk meningkatkan universiti itu sendiri, mengikut peruntukan dan sebagainya boleh kita tambah kalau ada kemampuan kewangan untuk meningkatkan lagi UPM,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Semalam media melaporkan Sultan Selangor tidak berkenan dengan cadangan untuk menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.
Sultan Sharafuddin bertitah, cadangan itu tidak dirujuk kepada baginda selaku Canselor UPM dan juga kepada Lembaga Pentadbir Universiti itu terlebih dahulu.
Menurut baginda, nama Universiti Putra Malaysia diambil sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.
Terdahulu Datuk Seri Mohamad mengumumkan cadangan menukar semula nama UPM kepada nama asalnya, iaitu Universiti Pertanian Malaysia akan dikemuka kepada Jemaah Menteri.
Ujarnya, cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Kabinet sebelum ini, selepas mengambil kira keutamaan negara kini tertumpu kepada isu keterjaminan makanan dan memajukan sektor pertanian negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.