comscore
Tumpuan :
Nasional

Cadangan pembinaan lapangan terbang baru di Kuching mampu selesaikan isu harga tiket mahal – Abang Johari

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (duduk, tengah) bergambar bersama mahasiswa Sarawak ketika Program Diskusi Belanjawan Sarawak di PAUM Clubhouse, Universiti Malaya. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Cadangan Sarawak untuk membangunkan sebuah lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching, bukan sekadar untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan industri penerbangannya, sebaliknya langkah jangka panjang bagi mengatasi isu harga tiket kapal terbang mahal.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata manfaat dan limpahan pembinaan lapangan terbang itu bukan hanya akan dinikmati rakyat Sarawak, bahkan mereka dari semenanjung.

“Memang agenda kita mahu membangunkan lapangan terbang baru. Bila? kamu berdoalah saja.”

“Sekarang ini harga tiket terlalu mahal. Anak-anak kita yang nak balik hari Gawai, harga tiket sampai RM1,000. Saya ada cara saya, tapi belum boleh dedahlah.”

“Apa yang utama, anak-anak kita yang balik atau dari semenanjung yang berada di Sarawak, mereka boleh balik ke kampung.”

“Kalau mengikut trend komersil sekarang, Tahun Baharu Cina bulan Februari, (harga tiket) baharu nak turun sekejap, datang musim raya dia naik lagi. Hari raya baru habis, hari Gawai pula datang, naik lagi. Jadi kesian dengan anak-anak kita serta orang ramai yang mahu balik kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall Bersama Premier Sarawak pada Program Diskusi Belanjawan Sarawak di sini hari ini.

Turut sama hadir, Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata cadangan pembinaan lapangan terbang baru itu tidak melibatkan komitmen kewangan sepenuhnya dari kerajaan pusat, sebaliknya hasil inisiatif antara kerajaan negeri dan swasta.

Beliau berkata kemudahan penerbangan itu juga dibina bukan sebagai sebuah entiti komersil, sebaliknya entiti infrastruktur, di mana prasarana dibina untuk kemudahan orang ramai yang mahu berkunjung ke Sarawak.

“Ini adalah projek infrastruktur. Dana membangunkan syarikat ini seperti kita membangunkan jambatan. Sekarang kita sedang buat kajian. Saya hanya satu saja, kalau mahu bergantung kepada Putrajaya, mungkin sukar untuk dijayakan.”

“Jadi, saya terpaksa cari jalan ‘win-win situation’ (menang-menang), mungkin dengan syarikat Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan dananya kita sama-sama kongsi secara komersil, yang juga kita kaitkan dengan cadangan ambil alih syarikat penerbangan MASwing.”

“Lepas itu, yang dapat manfaat adalah masyarakat dari sudut perkhidmatan dan keterhubungan. Dari sudut gambaran lebih jelas, kita lihat Dubai. Bagaimana dia boleh membangun. Salah satunya adalah syarikat penerbangannya. Syarikat penerbangan mereka lebih murah berbanding penerbangan setarafnya yang lain. Jadi mereka dapat tarik orang datang ke Dubai,” katanya.

Ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rabu lalu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak merancang membangunkan lapangan terbang antarabangsa baru susulan pengambilalihan MASwings.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini