KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menaikkan upah penghantaran dan mengambil pesanan secara serta-merta adalah amat mustahil bagi syarikat penyelia perkhidmatan P-Hailing (PHO).
Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata ini adalah disebabkan tiada garis panduan atau polisi atau akta khusus melibatkan sektor P-Hailing itu sendiri.
Artikel berkaitan: Syarikat p-hailing beri komitmen untuk lebih telus tentu kadar upah penghantar – PM
“Selain itu, kami turut meminta supaya pihak syarikat mempertimbangkan aspek dalam penentuan kadar upah bagi pengambilan pesanan dengan melihat kepada jarak maksimum pengambilan pesanan serta insentif jarak tambahan.
“Kami juga minta pihak syarikat untuk mempertimbangkan aspek had masa menunggu pesanan serta insentif jika terdapat tambahan had masa menunggu pesanan. Inilah yang dikatakan kos pekerjaan dalam senyap yang terpaksa ditanggung kami tanpa ada bayaran dan dibuat secara percuma kini,” katanya kepada pemberita.
Katanya lagi, beliau berharap di peringkat persatuan agar pihak syarikat akan memberikan jaminan pendapatan yang lebih adil kepada rakan penghantar mereka dan menambahbaik kejituan sistem aplikasi peta digital dan pemarkahan pemberian gaji yang lebih telus serta tidak menekan rakan penghantar.
Sementara itu beliau turut berkata perjumpaan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan 24 syarikat pengendali p-hailing susulan respon diterima hasil perjumpaan bersama rakan penghantar pada 22 Julai lalu, adalah bukti kerajaan komited dalam menangani masalah penghantar.
“Ini satu usaha dan komitmen kerajaan untuk memastikan permasalahan berpanjangan yang dihadapi rakan penghantar dapat diselesaikan dan soal kebajikan dapat diperkasakan.
Fokus keutamaan perbincangan tersebut adalah mendengar pandangan daripada pihak syarikat dan ruang juga diberikan kepada wakil penghantar bagi mengetengahkan pandangan dan isu.
Terima kasih atas ruang yang diberikan namun begitu, kami perlu adakan lagi sesi seterusnya bersama persatuan-persatuan pula agar pihak kerajaan juga dapat mendengar dan memahami isu dengan lebih mendalam lagi,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata pihak Penghantar telah mencadangkan perlunya penetapan harga lantai dengan kadar harga yang munasabah.
“Pihak kerajaan mendengar permintaan kami yang mahukan suatu harga tetap bagi suatu jarak tertentu dalam memberikan jaminan pendapatan, berunding bersama dan telah mengutarakannya serta meminta pihak syarikat untuk mengenakan standard harga ini bagi suatu jarak tertentu.
Namun demikian, pihak syarikat akan memperhalusi lebih lanjut akan pandangan bagi penentuan dan pengiraan kadar upah ini,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) kepada penghantar yang diterajui Kementerian Sumber Manusia.
Beliau berkata, dalam menambah baik kadar upah penghantar; kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan supaya tidak terbeban, di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat.