Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi cadangan berkaitan kumpulan berpendapatan T15 sebelum dibawa ke Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, beberapa cadangan akan dinilai sebelum sebarang keputusan dibuat jemaah menteri.
“Cadangan berkaitan kumpulan pendapatan t15 sedag diperhalusi dan perlu diangkat untuk diputuskan jemaah menteri dalam masa terdekat.
“Ada beberapa cadangan yang diangkat, sekiranya konsep dan pengkelasan T15 dipersetujui kerajaan, maka pengkelasan tersebut akan diguna pakai kerajaan,” jelasnya.
Tambah Rafizi, sebelum ini pengkelasan hanya berdasarkan pendapatan kasar iaitu B40, M40 dan T20.
Namun bagi memastikan pengukuran dan penyasaran lebih inklusif dan adil berkaitan subsidi kepada rakyat, pengelasan baharu perlu dibuat mengikut pendapatan boleh guna bersih setiap isi rumah.
“Pengkelasan T15 dicadangkan beralih daripada pendekatan berdasarkan pendapatan kasar B40,M40 dan T20 kepada kaedah pendapatan boleh guna bersih bagi memastikan pengukuran dan penyasaran lebih inlkusif dan adil.
“Definisi dan mekanisme pengkelasan T15, berdasarkan pendapatan boleh guna bersih boleh disediakan menggunakan maklumat dalam sistem PADU dengan mengambil kira perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW),” katanya lagi.
Mengulas lanjut ujarnya, PAKW itu merujuk kepada amaun perbelanjaan diperlukan isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar dalam memenuhi keperluan dan kehendak serta berpeluang menyertai aktiviti sosial dalam masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soslan Senator Baharuddin Ahmad di Dewan Negara hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.