Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Cadangan kerajaan Johor untuk mengubah waktu bekerja sektor awam kepada hanya empat hari setengah di negeri berkenaan, mungkin akan dibincangkan pada Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura bulan depan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara itu bagaimanapun tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
“Tak dibincangkan dan mungkin serba sedikit akan diteliti, terutama dalam konteks Sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura pada 8 dan 9 Disember ini.
“Tapi dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, tidak dibincangkan,” katanya pada sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan Johor sedang meneliti cadangan perubahan waktu bekerja sektor awam di negeri ini kepada hanya empat hari setengah.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia susulan pelaksanaan cuti hujung minggu yang diubah semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.
Bagi tujuan itu katanya, kerajaan negeri kini sedang giat melakukan penambahbaikan bagi mempertingkatkan produktiviti dan menambahbaik sistem penyampaian perkhidmatannya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.