Tumpuan :
Nasional

Cadang tubuh pasukan petugas pelbagai kementerian tangani ketirisan subsidi diesel

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub. -Foto: NSTP

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Satu pasukan petugas membabitkan pelbagai kementerian dicadang untuk diwujudkan dalam usaha mengekang ketirisan subsidi diesel.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub mengakui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak boleh bertindak sendirian dan memerlukan kerjasama strategik dengan kementerian serta agensi lain.

Beliau berkata, pasukan bertindak khas KPDN bagi menangani isu ketirisan subsidi diesel hampir RM10 bilion yang diseleweng tahun lalu, yang diketuai Ketua Setiausahanya, Datuk Azman Mohd Yusof akan bermesyuarat esok.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil dari Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kita lihat kemajuan tindakan itu dan sekiranya perkara ini benar-benar memerlukan tindakan lebih komprehensif dan bersepadu dalam perbincangan esok, saya tidak tolak kemungkinan untuk membawa satu cadangan kepada Kabinet untuk diadakan pasukan petugas atau ops apa pun nanti membabitkan beberapa kementerian bertanggangungjawab.

“(Usaha ini) dapat kita lakukan demi memastikan ketirisan dapat kita kawal pada tahap minimum,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KPDN bulan Februari di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat lalu dilaporkan berkata, wujud ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran hampir RM10 bilion yang diseleweng pada 2022.

Sebelum ini, Salahuddin dilaporkan berkata, beliau sudah mengarahkan Azman mengetuai pasukan bertindak khas itu sejak bulan lalu dan meminta segera bertindak mengekang ketirisan subsidi diesel daripada terus berlaku antaranya disyaki di kawasan pedalaman termasuk Sabah serta Sarawak dan di pangkalan nelayan.

Sementara itu, pada majlis sama, Salahuddin turut melancarkan Microsite Francais Malaysia iaitu platform untuk membantu perkembangan dan mempromosikan potensi perniagaan francais termasuk meningkatkan pemahaman mengenai industri francais negara.

Ia boleh diakses sejak 1 Februari lalu melalui laman sesawang www.francaismalaysia.com.

Loading...
Terkini