comscore
Tumpuan :
Nasional

Cacat penglihatan bukan penghalang Muhammad Ezwan genggam ijazah sarjana

Muhammad Ezwan bersama keluarga yang meraikan kejayaannya memiliki Sarjana Pendidikan Khas sempena Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-25 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

TANJUNG MALIM: Kekurangan pada diri jika disulami dengan kecekalan dan semangat yang kuat mampu menjadikan seseorang itu bukan sahaja berjaya, tetapi cemerlang dalam apa juga bidang diceburi.

Status ketidakupayaan penglihatan bukanlah penghalang kepada Muhammad Ezwan Mohd Alikusbari, 27, anak kedua daripada tiga beradik untuk terus menempa kejayaan di peringkat tertinggi.

Walaupun berstatus OKU, beliau mampu untuk menjalani kehidupan seperti orang normal.

Anak kelahiran Johor itu berjaya menggenggam Sarjana Pendidikan, Pendidikan Khas pada sesi keenam Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali ke-25 baru-baru ini di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Muhammad Ezwan, guru pendidikan khas di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kulai, Johor ketika ditemui berkata ketidakupayaan penglihatan yang dialaminya sejak kecil bukan alasan untuk dirinya berputus asa, sebaliknya ia menjadi pembakar semangat untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

“Saya mengalami ketidakupayaan penglihatan sejak lahir, ketika itu saya masih mampu untuk melihat objek yang bersaiz besar, namun sejak 2018 mata saya mula mengalami kabur dan hilang penglihatan sehingga sekarang,” katanya.

Menurut ibunya, Latifah Hussein, 54, suri rumah dan bapa, Mohd Alikusbari Salleh, 58, seorang buruh kasar, mereka tetap berusaha memastikan Muhammad Ezwan tidak ketinggalan di dalam pelajaran.

“Kami menghantar Muhammad Ezwan ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth seterusnya ke Sekolah Sultan Abu Bakar, Johor Bahru. Kemudian, Ezwan melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur”, katanya.

Muhammad Ezwan berkata, cabaran untuk mereka yang mengalami ketidakupayaan penglihatan ini sangat besar terutamanya apabila ingin mendapatkan bahan rujukan.

“Saya tidak dapat membaca buku-buku bercetak, namun saya bergantung kepada jurnal-jurnal dalam talian dan Microsoft Power Point dan nota-nota yang dibekalkan oleh pensyarah. Syukur, saya dibantu ramai pihak terutamanya rakan-rakan sekelas dan mereka sentiasa menghulurkan bantuan apabila diperlukan”, ujarnya.

Akuinya, keluarga menjadi sistem sokongan kuat sehingga beliau mampu berdiri seperti hari ini.

“Ahli keluarga banyak membantu terutama kakak saya, beliaulah yang akan membacakan buku-buku dan nota serta membantu melengkapkan keperluan saya sepanjang tempoh pengajian Sarjana ini”, ujarnya.

Muhammad Ezwan, yang pernah mewakili Johor dalam Para SUKMA menjadikan Profesor Datuk Dr Ismail Md Saleh, pakar Ekonomi OKU penglihatan pertama sebagai sumber inspirasi.

Beliau yang berhasrat menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah bertekad untuk terus menyumbang dalam bidang pendidikan khas khususnya ketidakupayaan penglihatan.

Loading...
Terkini