comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Cabul remaja, seorang lelaki dituduh di mahkamah esok – KP Kuala Lumpur

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 42 tahun akan dihadapkan ke mahkamah esok berikutan kes cabul melibatkan dua remaja yang dilaporkan hilang sebelum ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid. Menurut beliau, pertuduhan akan dibuat atas kesalahan amang seksual terhadap mangsa terlibat.

“Suspek ini kita akan tuduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan esok kita akan tuduh (di mahkamah).

“Kita dah bawa kepada pihak pendakwaan dan telah terima arahan untuk tuduh esok,” katanya ketika ditemu bual Buletin TV3 hari ini.

Mengulas lanjut, kes berkenaan katanya tidak membabitkan sebarang unsur sindiket mahupun penglibatan jenayah dadah.

Jelasnya, dakwaan yang sebelum ini mengatakan bahawa mereka diculik juga adalah tidak tepat sama sekali.

“Dia (mangsa) tidak dikurung sebab bebas keluar masuk daripada rumah suspek kerana keterangan yang kita dapat dari mangsa dan suspek, mereka ini berkeliaran 1 Januari maka dibawa ke rumah suspek.

“Mereka memang bebas keluar masuk jadi tiada elemen kurungan,” katanya.

Dalam pada itu, hasil ujian air kencing juga mendapati tiada sebarang elemen dadah digunakan terhadap mangsa sekali gus menyangkal dakwaan kedua-dua mereka diberikan dadah.

Bagaimanapun tegas Allaudeen, siasatan akan tetap diteruskan sekiranya wujud sebarang penemuan lain.

Setakat ini, polis sahkan hanya seorang suspek yang terlibat dalam kes terbabit.

Sebelum ini kedua-dua mangsa kali terakhir dilaporkan hilang di sekitar kediaman mereka di Taman Bernam Jaya, Hulu Selangor ketika pulang dari solat subuh.

Abangnya, 17 tahun bagaimanapun ditemui di Stesen LRT Pasar Seni, Khamis lalu dan disusuli dengan penemuan adiknya yang berusia 16 tahun ini hasil penemuan seorang gelandangan sebelum dibawa pulang ke rumah.

Loading...
Terkini