KUALA LUMPUR: 2025 adalah tahun permulaan generasi baharu dikenali sebagai generasi beta.
Mereka bukan sahaja genius sebagai pengguna teknologi bahkan bakal menyumbang kepada pembangunan teknologi baharu.
Kelahiran generasi beta atau gen beta tahun ini seiring penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang.
Hal itu, sekali gus mengubah cara manusia berfikir, adaptasi sekeliling dan berinteraksi.
Tidak terkecuali, Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur turut merakam detik sejarah menyambut kelahiran bayi pelbagai generasi.
Pakar Perubatan Obstetrik Dan Ginekologi, Dr Mastura Mat Yusof berkata, sepanjang 13 tahun berkhidmat sebagai doktor sakit puan, dia mempunyai pengalaman berbeza menyaksikan proses pembesaran kanak-kanak.
“Generasi beta ini parents (ibu bapa) dia adalah generasi Y and Z, jadi ibu bapa mereka sendiri tu dah bijak pandai dan celik IT.
“Jadi kita memang dah expect (jangka) bayi generasi beta ini lebih maju, jadi mereka akan lebih cerdik. Kalau ibu bapa guna kemudahan teknologi itu sepenuhnya, mereka boleh pergi lebih jauh,” katanya.
Pun begitu, Dr Mastura berkata, kadar kelahiran gen beta dijangka terus berlaku penurunan.
Apapun, Pakar Psikologi Klinikal Kanak-Kanak, Dr Noor Aishah Rosli berpandangan kelompok generasi beta bakal mengalami ketagihan besar terhadap peranti teknologi digital.
Keadaan itu boleh membawa kepada satu penyakit sosial yang mengancam manusia.
“Mereka lebih selesa menggunakan internet dan cuba mengelak berhubung secara fizikal. Oleh itu, generasi ini mudah mendapat pengaruh dari luar.. bukan sahaja di dalam Malaysia tetapi mereka juga akan terdedah dengan media sosial yang lebih dasyat lagi,” katanya.
Kebergantungan tinggi terhadap teknologi juga membolehkan gen beta sukar menyesuaikan situasi yang tidak disokong oleh kemajuan.
Justeru, cabaran ibu bapa kali ini adalah lebih kritikal untuk mengimbangi penggunaan teknologi dan dalam masa sama tidak mengabaikan kepentingan pembangunan kemahiran sosial dan emosi.
“Kalau terlalu banyak berdepan dengan screen mereka akan ada masalah berdepan dengan sosial, hal itu boleh menimbulkan keresahan bersosial atau social anxiety serta tidak ada keyakinan untuk bercakap.
Sementara itu, ibu bapa yang ditemui pula masih memilih didikan konvensional dalam membesarkan anak-anak era digital.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.