comscore
Tumpuan :
Nasional

CAAM larang guna bagasi pintar sebagai mod pengangkutan dalam kawasan apron lapangan terbang

PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengeluarkan arahan keselamatan melarang penggunaan bagasi pintar atau ‘skuter’ sebagai mod pengangkutan dalam kawasan apron lapangan terbang.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam arahan keselamatan bertarikh 15 November lalu, berkata walaupun bagasi pintar yang boleh ditunggang itu menawarkan kemudahan kepada penumpang, penggunaannya seperti di apron boleh menimbulkan risiko keselamatan.

Beliau berkata, di kawasan itu terdapat jentera berat, pesawat, kenderaan perkhidmatan darat dan petugas, sekali gus memerlukan pematuhan ketat terhadap peraturan keselamatan untuk mengelakkan kemalangan dan kerosakan peralatan.

“Untuk mengurangkan risiko kemalangan dan meningkatkan keselamatan lapangan terbang, adalah penting melarang sepenuhnya penggunaan bagasi pintar di kawasan larangan, menetapkan had laju di zon dibenarkan dan mendidik penumpang dan petugas amalan penggunaan yang selamat,” katanya.

Apron lapangan terbang merujuk kawasan terbuka di lapangan terbang terletak berhampiran terminal penumpang dan landasan di mana pesawat diparkir, diselenggara dan disiapkan sebelum berlepas atau selepas mendarat.

Fungsi utama lain apron lapangan terbang termasuk sebagai kawasan pengendalian kargo, bagasi dan bekalan lain dipindahkan antara pesawat serta terminal, selain bagi penyelenggaraan pesawat dan pengisian bahan bakar.

Selain itu, pesawat yang bergerak dari tempat parkir ke landasan atau sebaliknya akan melalui apron yang secara ringkasnya adalah kawasan penting untuk operasi pesawat di lapangan terbang.

Sehubungan itu, Norazman berkata, penggunaan bagasi pintar tidak dibenarkan melebihi kawasan tertentu seperti ruang terminal dan zon menunggu, manakala papan tanda larangan perlu dipasang untuk memaklumkan pengguna.

Beliau berkata, bagasi pintar yang dilengkapi motor elektrik perlu dinyahaktifkan sepenuhnya ,termasuk komponen bateri sebelum dibawa masuk ke kawasan apron.

Petugas di lapangan perlu dilatih mengenal pasti bagasi pintar yang boleh ditunggang dan melaksanakan protokol keselamatan untuk mengendalikannya.
Ia termasuk melaporkan segera sebarang penggunaan di kawasan apron kepada pengendali lapangan terbang atau pekerja keselamatan.

“Selain itu, penyedia perkhidmatan pengendalian darat perlu pastikan semua petugas tahu prosedur yang betul untuk memuat, menyimpan dan mengangkut bagasi pintar, terutama jika ia mengandungi bateri litium atau komponen elektrik lain yang mungkin menimbulkan risiko keselamatan,” katanya.

Syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang juga dinasihatkan untuk memaklumkan atau memasukkan arahan keselamatan itu menerusi pengumuman prapenerbangan termasuk pada tiket.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini