KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dijangka akan diasingkan dan dibebaskan dari saraan kerajaan bermula tahun depan.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menerusi langkah itu skim gaji kakitangan badan berkanun terbabit tidak lagi tertakluk kepada Skim Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedia ada.
“Tahun depan saya nak naik taraf CAAM ini sebagai badan berkanun diasingkan dan dibebaskan saraan daripada kerajaan.
“Maksudnya tangga skim gaji kakitangan CAAM akan dinaikkan bukan tertakluk Skim Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedia ada,” jelasnya.
Mengulas lanjut ujar Anthony, pihaknya menjangkakan badan terbabit boleh menjana hasil sehingga RM400 juta berbanding RM100 juta dalam tempoh setahun ketika ini.
Ia hasil daripada peningkatan caj penggunaan ruang udara pada pesawat asing di negara ini.
“Mengapa CAAM ini dapat (peruntukan) RM100 juta daripada dapat RM150 juta, sebab CAAM ini agensi dan badan berkanun. Kutipan CAAM tidak cukup bayar gaji, jadi ada funding gap, kerajaan membantu suntikan dana RM150 juta untuk mereka kekal berdaya saing dan beroperasi.
“Mereka mesti ada dana sendiri, bagaimana nak jana untuk CAAM, saya luluskan peningkatan caj penggunaan ruang udara khususnya pesawat asing gunakan ruang udara kita.
“Kita naikkan kadar, tidak pernah berpuluh tahun naik kadar itu, kita bagi orang lain perkhidmatan murah jadi saya naikkan caj itu jadi pendapatan CAAM akan naik daripada RM100 juta lebih kepada 400 juta setahun cukup membiayai semua perbelanjaan CAAM,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 Peringkat Jawatankuasa bagi MOT di Dewan Rakyat hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.