comscore
Tumpuan :
Nasional

Bytedance berhentikan 700 pekerja di unit Malaysia

Bytedance mempunyai lebih 110,000 pekerja di lebih 200 bandar di seluruh dunia – FOTO: Reuters

KUALA LUMPUR: Syarikat induk kepada platform media sosial TikTok, ByteDance yang bertapak di China memberhentikan lebih 700 pekerja daripada unit di Malaysia apabila syarikat itu beralih tumpuan ke arah penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang lebih meluas dalam kandungan, menurut dua sumber yang rapat dengan perkembangan itu kepada Reuters.

Pekerja yang kebanyakannya terbabit dalam operasi penapisan kandungan firma itu dimaklumkan mengenai pemecatan mereka melalui e-mel lewat kelmarin, sumber itu berkata, meminta nama dirahsiakan kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap dengan media.

Sebagai tindak balas kepada pertanyaan Reuters, TikTok mengesahkan pemberhentian pada hari ini, tetapi berkata, ia tidak dapat memberikan angka tepat mengenai jumlah pekerja yang terjejas di Malaysia.

Ia menjangkakan bahawa beberapa ratus orang akan terkesan secara global sebagai sebahagian daripada rancangan yang lebih luas untuk menambah baik operasi penapisannya.

TikTok menggunakan gabungan pengesanan automatik dan moderator manusia untuk menyemak kandungan yang disiarkan di tapak.

Bytedance mempunyai lebih 110,000 pekerja di lebih 200 bandar di seluruh dunia, menurut laman web syarikat itu.

Firma teknologi itu juga merancang lebih banyak pemberhentian bulan depan kerana ia dilihat mahu menyatukan beberapa operasi serantaunya, kata salah seorang sumber.

“Kami membuat perubahan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan lagi model operasi global kami untuk menapis kandungan,” kata jurucakap TikTok dalam satu kenyataan.

Syarikat itu menjangkakan untuk melabur AS$2 bilion secara global bagi tujuan amanah dan keselamatan tahun ini serta akan terus meningkatkan kecekapan, dengan 80 peratus kandungan yang melanggar garis panduan kini dialih keluar oleh teknologi automatik, kata jurucakap itu.

Pemberhentian itu pertama kali dilaporkan oleh portal perniagaan The Malaysian Reserve semalam.

Pemberhentian kerja berlaku apabila firma teknologi global menghadapi tekanan kawal selia yang lebih tinggi di Malaysia, apabila kerajaan meminta pengendali media sosial memohon lesen operasi menjelang Januari sebagai sebahagian daripada usaha untuk memerangi jenayah siber.

Malaysia melaporkan peningkatan mendadak dalam kandungan media sosial yang berbahaya awal tahun ini dan menggesa firma, termasuk TikTok, untuk meningkatkan pemantauan di platform mereka.-Reuters

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini