TAWAU: Seorang buruh lelaki warga emas maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan jalan di Kilometer 32, Jalan Tawau-Kunak di sini pada 8.30 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau Supt Champin Piuh berkata mangsa berusia 62 tahun itu tercampak sejauh 27 meter selepas dirempuh kereta berkenaan dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
“Polis menerima maklumat pada 8.50 pgi berhubung kejadian itu dan siasatan awal mendapati pemandu kenderaan seorang lelaki dari arah Kunak menuju ke Hospital Tawau dipercayai memandu laju sambil memintas dua kenderaan lain.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta, seorang lelaki berusia 23 tahun, dipercayai memandu laju sambil memintas dua kenderaan lain dari arah Kunak menuju ke Hospital Tawau. Kereta tersebut hilang kawalan, terbabas ke kanan jalan, dan melanggar mangsa yang sedang bertugas bersama dua rakan sekerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kedua-dua rakan sekerja mangsa dan pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu tersebut ditahan untuk membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.