KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak rayuan hukuman dan sabitan terhadap seorang buruh atas dakwaan merogol seorang wanita yang sedang mengandung tujuh bulan.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun dan tiga sebatan selepas menolak rayuan tertuduh, Mohammad Sukri Jaafar, 43 tahun.
Mahkamah Sesyen Kemaman sebelum ini menjatuhkan hukuman itu, namun tertuduh membuat rayuan.
Bagaimanapun, Hassan menolak rayuan itu dengan mengekalkan hukuman terhadap tertuduh berkuat kuasa hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang wanita berusia 20 tahun ketika kejadian tanpa kerelaannya.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan hutan berhampiran Jalan Mak Chili-Ibok, Chukai, Kemaman pada 10 pagi 25 Oktober 2019.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Nadzir Abdullah.
Media sebelum ini melaporkan tindakan wanita menumpang kereta lelaki tidak dikenali membawa padah apabila dia dirogol individu terbabit di kawasan pembuangan sampah.
Kejadian berlaku ketika mangsa menunggu bas di perhentian bas untuk ke rumah kakaknya di Kampung Gong Limau, Chukai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.