Tumpuan :
Nasional

Buruh dilepas tanpa bebas pertuduhan jadi bapa ayam, melacurkan isteri

Foto hiasan

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini melepaskan tanpa membebaskan seorang buruh daripada dua pertuduhan menjadi bapa ayam dan melacurkan isterinya.

Hakim Syarie Hamidi Shafie menggugurkan pertuduhan terhadap Ahmad Nizam A Aziz, 38, yang berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 27 (1) dan Seksyen 28 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Selain itu, isterinya, Nor Syuhada Abu Hassan, 37, yang didakwa mengikut Seksyen 25 enakmen yang sama turut dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan sama.

Keputusan itu dibuat susulan permohonan Ketua Pendakwa Syarie yang mencadangkan kes membabitkan kedua-dua tertuduh dihentikan prosiding dan mengesyorkan pasangan terbabit untuk dilepaskan tanpa dibebaskan.

Ia dibuat sebagaimana peruntukan mengikut Seksyen 55 (2) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Islam (Terengganu) 2001.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Nizam didakwa melacurkan isterinya yang berusia 32 tahun ketika kejadian.

Selain itu, tertuduh juga didakwa bertindak sebagai orang tengah bagi maksud berlakunya kegiatan yang menyalahi hukum syarak iaitu kegiatan pelacuran antara seorang perempuan dengan seorang lelaki.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di daerah ini pada 24 dan 25 Julai 2019.

Sementara itu, Nor Syuhada sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di daerah ini antara 10 hingga 10.20 malam pada 25 Julai 2019.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam syarie, Fazru Anuar Yusof.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini