SIK: Bunyi pelik dari bahagian rak dapur sebuah rumah penduduk di Kampung Tanjung Besar, di sini membawa kepada penemuan seekor ular tedung selar sepanjang lebih empat meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil, memaklumkan sebaik menerima panggilan pada jam 1.45 petang, pihaknya menghantar tujuh anggota dari BBP Sik yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shahril Salleh ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, didapati ular tedung selar itu sedang ‘berehat’ di rak dapur rumah penduduk berkenaan.
“Anggota kami cuba menangkap reptilia itu menggunakan peralatan khas penjerut ular namun ia bertindak agresif serta cuba menyerang anggota kami.
“Bagaimanapun, ular tedung selar itu ditangkap kira-kira 10 minit kemudian menggunakan kepakaran anggota kami,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zulkhairi berkata, ular tedung selar antara reptilia paling berbisa dan berbahaya kepada manusia kerana boleh mengundang maut.