RANTAU PANJANG: Walaupun rakyat Malaysia kini disifatkan masih selamat untuk mengunjungi Selatan Thailand terutamanya di Wilayah Songkhla, namun situasi sama mungkin tidak berlaku di Wilayah Narathiwat.
Penduduk yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand di sini, dikejutkan bunyi letupan dan bedilan kuat yang dipercayai berlaku di kawasan Gualosira, Pasemas Daerah Sungai Golok, Wilayah Narathiwat, sekitar jam 1 pagi tadi.
Penduduk di Pekan Rantau Panjang, Zaidi Abdullah, 42, berkata, beliau terjaga selepas terkejut mendengar letupan kuat itu sehingga menggegarkan rumahnya yang berjarak hanya beberapa meter dari Sungai Golok.
Walaupun rakyat Malaysia kini disifatkan masih selamat untuk mengunjungi Selatan Thailand terutamanya di Wilayah Songkhla, namun situasi sama mungkin tidak berlaku di Wilayah Narathiwat.
Penduduk yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand, dikejutkan bunyi letupan dan bedilan… pic.twitter.com/3jXIpsCHn5
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) April 29, 2024
Katanya, dia mengagak sesuatu terjadi di sebelah negara jiran selepas mendengar bunyi seperti berbalas tembakan dan meminta keluarganya tidak keluar rumah atas faktor keselamatan.
“Bunyi letupan dan bedilan yang kuat itu berhenti seketika tetapi bersambung kembali beberapa minit kemudian. Saya mendapat tahu maklumat berkaitan insiden ini melalui laman sosial Facebook apabila ada yang berkongsi mengenai kejadian itu.
“Memandangkan rumah saya dekat dengan Sungai Golok, insiden sebegini seperti sudah biasa tetapi pada masa sama, tetap berasa takut dengan keselamatan diri dan keluarga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, difahamkan tiada laporan membabitkan mangsa yang meninggal dunia akibat insiden terbabit.
Selain itu, di Facebook turut tular beberapa video menunjukkan rakaman bunyi letupan termasuk daripada penduduk di sebelah Thailand.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, ketika dihubungi berkata pihaknya masih belum menerima sebarang laporan atau aduan berkaitan insiden letupan dan bedilan itu daripada penduduk kampung.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.