GEORGE TOWN : “Tiba-tiba bunyi dentuman atas bumbung sebelum semua lampu terpadam menyebabkan kami berlari dari bilik,” kata Nurul Hawa Abdullah, 13, seorang daripada penghuni Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, Jalan Scotland, di sini, yang terselamat dalam kejadian bumbung runtuh, malam tadi.
Nurul Hawa berkata, sebelum kejadian, dia bersama rakannya sedang berbual sambil membuat kerja sekolah.
Katanya, sebelum kejadian dia terdengar bunyi sesuatu di atas bumbung seperti orang berjalan dan tidak lama kemudian terdengar bunyi sesuatu jatuh sebelum keadaan bergelap akibat lampu terpadam disusuli bunyi dentuman kuat.
“Kami ketakutan dan keluar dari situ bagi menyelamatkan diri sebelum mendapati tiga rakan cedera dan membantu mereka. Salah seorang mengalami cedera agak teruk kerana tertimbus di bawah runtuhan itu,” katanya ketika ditemui di sini.
Manakala warden asrama, Noor Niah Abu Bakar berkata, dia ketika itu sedang menunaikan solat Isyak dikejutkan dengan bunyi runtuhan.
“Terkejut dengan bunyi itu, saya berhenti solat dan bergegas ke kawasan berkenaan bagi melihat kejadian sebelum mendapati bumbung siling berkenaan runtuh.
“Saya lihat warden dan beberapa penghuni sudah menyelamatkan tiga yang tercedera sebelum pasukan bomba tiba.”Tiada apa yang saya fikirkan ketika itu selain mahu menyelamatkan penghuni lain,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persekutuan Kebajikan Anak-anak Yatim Islam Pulau Pinang Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, dia bersyukur kejadian itu tidak membabitkan kehilangan nyawa.
“Bangunan ini sudah beroperasi sejak tahun 1984 dan bangunan lama. Ia adalah kemalangan yang tidak disangka,” katanya ketika di lokasi.
Difahamkan seramai 27 penghuni terselamat akan dipindah sementara ke Wisma Yatim Laki-laki Islam Pulau Pinang di Air Itam dekat sini.
Mangsa yang cedera ialah Nur Jannah Motaleb, 8; Nur Batrisya Mohd Raffei, 10; dan Siti Syahirah Zulkipli, 13 tahun.Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata tiga mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dilapor stabil.
Katanya, walaupun kejadian dikenal pasti tidak berunsurkan khianat namun bangunan berkenaan ditutup sementara bagi siasatan lanjut.
Terdahulu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.42 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Jalan Perak dan BBP Paya Terubong ke lokasi sejurus menerima panggilan.
“Ketika di lokasi didapati kejadian membabitkan runtuhan bumbung bangunan asrama berkenaan.
“Terdapat seramai 30 mangsa dan berjaya diselamatkan oleh kakitangan asrama manakala mangsa yang cedera sudah diberi rawatan awal, ” katanya ketika ditemui di lokasi. – HARIAN METRO