comscore
Tumpuan :
Nasional

Bunyi dengusan dalam bilik air rupanya ‘King Cobra’ sedang berehat 

 

FOTO: Ular tedung selar yang berehat di alang kayu bilik air rumah penduduk di Kampung Batu 2, Sungai Pau, sebelum berjaya ditangkap APM Sik. NSTP/IHSAN APM

SIK: Bunyi dengusan di atas alang kayu bilik air mengejutkan seorang penduduk di Kampung Batu 2, Sungai Pau, di sini apabila mendapati ia seekor ular tedung selar yang sedang ‘berehat’.

Berikutan itu, penduduk terbabit menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sik untuk mendapatkan bantuan menangkap ular jenis King Cobra itu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehadiran ular itu pada jam 10.22 malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya tiba di lokasi dan mendapati ular tedung selar itu masih berada di kawasan itu.

“Anggota kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular tedung selar sepanjang empat meter itu dan operasi dilakukan dengan berhati-hati kerana ular jenis King Cobra itu sangat berbisa.

“Dengan menggunakan penjerut dan pengalaman serta kemahiran yang ada, anggota kami berjaya menangkap ular berkenaan selepas reptilia itu cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam rekahan dinding rumah penduduk berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Haisul Aisyah berkata, ular tedung selar itu kemudian dibawa pulang ke Pusat Kawalan Operasi APM Daerah Sik sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Sik.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang awam terus peka dan sentiasa waspada berikutan cuaca panas mengundang reptilia berbisa untuk tumpang berteduh di kediaman terutama kawasan sejuk iaitu bilik air, bilik tidur dan bawah katil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini