TAWAU: Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Allahyarham Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, tidak sempat bersahur selepas dipukul di bilik Asrama 5 Belian, kolej itu pada malam 21 Mac lalu.
Saksi pendakwaan ke-17 itu dalam pernyataan saksinya memaklumkan ketika bangun untuk bersahur kira-kira 3.40 pagi, pada 22 Mac, dia singgah di bilik 7 Belian bagi mengejutkan mangsa.
Bagaimanapun katanya, sewaktu mengejutkan mangsa, Mohamad Nazmie tidak bangun dan beranggapan dia masih tidur sebelum mengejutkan penghuni bilik lain untuk bersahur.
“Selepas kejutkan rakan lain saya terus ke dewan makan untuk bersahur dan terus balik ke bilik saya di 5 Belian untuk bersiap pergi ke kolej,” katanya.
Bagaimanapun saksi itu semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Jhesseny Kang, memaklumkan dia tidak memeriksa si mati ketika mengejutkannya kerana beranggapan Mohamad Nazmie masih tidur selain mendengar dengkuran mangsa ketika itu.
Jhesseny : Selepas sahur ada kamu lihat cikgu atau warden yang bertugas pada masa itu?
PW17 : Tidak pasti.
Jhesseny : Setuju atau tidak kalau saya katakan walaupun kamu bukan exco asrama tetapi sebagai penghuni kamu wajib laporkan kejadian yang berlaku di 5 belian pada warden atau cikgu?
PW17 :Setuju
Sementara itu, saksi pendakwaan ke-18 turut memaklumkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif semasa sesi pemeriksaan utama, Mohamad Nazmie tidak memberikan sebarang respon ketika ditemukan tidur di bilik 7 Belian kira-jam 5 pagi pada 22 Mac.
Menurutnya, mangsa tidak pernah dilihat tidur di bilik 7 Belian sebelum ini kerana dia adalah penghuni bilik 7 Resak.
Nur Nisla : Semasa kamu nampak Mohamad Nazmie sedang tidur apa tindakan kamu.
PW18 : Tiada
Nur Nisla : Adakah kamu ingat bagaimana keadaan Mohamad Nazmie pada waktu itu?
PW18 : Dia baring dan dalam keadaan berselimut.
Nur Nisla : Dalam pernyataan saksi, kamu nyatakan ada nampak tertuduh ke-11 kejut Mohamad Nazmie tetapi tiada respon. Apa maksud kamu tiada respon?
PW18 : Tidak bergerak langsung.
Dalam pada itu, bilik bicara mahkamah bertukar pilu seketika apabila kesemua tertuduh itu tidak dapat menahan sebak sewaktu saksi ke-18 itu memeluk setiap daripada mereka sejurus selesai memberi keterangan.
Saksi itu juga sempat memberi kata-kata semangat kepada mereka dengan berkata ‘Aku doakan kamu’.
Prosiding perbicaraan hari kelapan hari ini membabitkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun yang dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam pada 21 Mac hingga jam 7.38 pagi pada 22 Mac lalu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok.