Tumpuan :
Nasional

Bunuh pelajar KV: Ibu Mohamad Nazmie menangis diminta cam gambar anak

TAWAU: Suasana di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bertukar hiba apabila ibu kepada Allahyarham Mohamad Nazmie menangis ketika diminta membuat pengecaman gambar arwah anaknya.

Saksi Pendakwaan keempat, Siti Hamidah Jumari, 45, bagaimanapun hanya dapat membuat pengecaman pada sekeping gambar (gambar nombor 12) kerana sukar menahan perasaan ketika diminta berbuat demikian oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif.

Menerusi pernyataan saksi, Siti Hamidah memberitahu mahkamah bahawa pihak Kolej Vokasional Lahad Datu tidak memaklumkan keadaan sebenar yang menimpa arwah anaknya.

Katanya, dia dihubungi melalui panggilan telefon pada jam 7 pagi, 22 Mac lalu oleh seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘cikgu’ dan mengarahkan dia supaya pergi ke Unit Kecemasan Hospital Lahad Datu kerana Mohamad Nazmie dikatakan mengalami sesak nafas.

Bagaimanapun katanya, tidak lama selepas itu ketika dalam perjalanan ke hospital, dia sekali lagi menerima panggilan telefon daripada guru wanita lain yang memintanya terus ke Jabatan Forensik hospital terbabit.

“Saya bertanya kenapa dan apa sebenarnya terjadi kepada anak saya tetapi tidak diberitahu, sebelum diarahkan supaya menunggu di unit forensik kerana akan ada cikgu datang ke sana.

“Namun apabila tiba di sana, saya dapati tiada nama anak saya di situ dan tiada pelajar asrama di situ,” katanya.

Hamidah turut memberitahu, dia cuba menghubungi semula nombor guru yang menghubunginya namun panggilan tidak dijawab, sebelum tiga guru datang menemuinya serta memaklumkan mereka juga tidak mengetahui keadaan sebenar menimpa anaknya.

“Saya tidak pasti sama ada mereka betul-betul tidak tahu atau mereka tidak mahu memberitahu saya keadaan sebenar anak saya,” katanya.

Hamidah turut menjelaskan, dia hanya mengetahui Mohamad Nazmie sebenarnya masih berada di asrama Kolej Vokasional selepas dihubungi adiknya, Ady Affendi dan bergegas ke sana.

Menurutnya lagi, dia tidak dibenarkan masuk ketika tiba di tingkat tiga bangunan kerana menunggu ketibaan polis, namun nampak arwah anaknya ditutup menggunakan selimut dan ternampak kaki lengkap berstokin gelap terbaring di lantai.

“Pada masa tersebut barulah saya tahu bahawa arwah sudah meninggal dunia,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini