comscore
Tumpuan :
Nasional

Buntu cari ibu kandung anak angkat bagi urusan dokumentasi

SLIM RIVER: Seorang wanita buntu apabila gagal mengesan ibu kandung kepada anak angkatnya yang berusia dua tahun bagi urusan dokumentasi.

Siti Nursyakila Ismail, 28, berkata, dia menerima kanak-kanak berkenaan daripada seorang wanita dikenali Normazlina di Hospital Pulau Pinang pada 9 Mac 2022.

“Ketika itu, kanak-kanak berkenaan masih lagi bayi yang berumur kira-kira 12 hari ketika diserahkan kepada saya atas persetujuan bersama untuk dijadikan anak angkat.

“Selepas itu, saya cuba menghubungi ibu kandung kanak-kanak berkenaan melalui telefon, malah ke rumah sewanya di George town tetapi gagal menemui wanita terbabit,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, dekat sini.

Menurutnya, jiran rumah sewa wanita berkenaan juga tidak tahu asal usul mahupun ke mana wanita terbabit menghilangkan diri.

“Kanak-kanak berkenaan kini sudah berumur dua tahun dan keadaan sukar kerana kanak-kanak berkenaan juga tidak mempunyai dokumen pengenalan diri lengkap.

“Saya berharap ibu kandung kanak-kanak berkenaan menghubungi saya bagi memudahkan proses dokumentasi,” katanya.

Siti Nursyakila berkata, dia sudah pergi ke Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Muallim bagi menyelesaikan dokumentasi kanak-kanak berkenaan.

Katanya, mereka yang mempunyai maklumat tentang ibu kandung kanak-kanak berkenaan boleh menghubungi pejabat JKM daerah di talian 05-4529644 dengan kadar segera.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini