Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
SEPANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bungkusan yang disangka mengandungi bahan letupan rupa-rupanya adalah sebuah komputer riba dan kabel pengecas.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah KLIA, Assisten Komisioner Azman Shari’at berkata, satu laporan polis diterima di Balai Polis Aeropolis KLIA pada jam 1.30 tengah hari tadi oleh pengadu yang mengendalikan mesin pengimbas di Pusat Kargo KLIA.
“Sebuah bungkusan yang semasa diimbas dipercayai ada bateri dan beberapa wayar.
“Semakan petugas juga terdapat tulisan bertulis ‘AWAS JANGAN CAMPAK NANTI MELETUP INI BOOM’,” katanya.
Jelasnya, bungkusan tersebut dialamatkan kepada seseorang di Limbang, Sarawak.
Azman berkata, pihak polis segera menjalankan siasatan menerusi tindakan pengesanan menggunakan anjing pengesan K9 dan mendapati negatif mempunyai bahan letupan.
“Begitu pun kerana ayat ancaman yg tertulis pada bungkusan tersebut, Unit Pemusnah Bom PDRM telah mengambil tindakan menyelamat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ada iaitu menggunakan ‘Whell Barrow Mk 8 Plus ‘dan satu butir ‘Cartridges L2 A1’,” katanya.
Mengulas lanjut, Azman berkata, tembakan dilakukan menggunakan ‘pigstick’ yang diisi air dan dipasang pada sebuah mesin robotik.
Tiada sebarang letupan berlaku setelah tembakan berkenaan.
“Setelah prosedur tembakan dilakukan, didapati bungkusan tersebut mengandungi sebuah komputer riba dan kabel pengecas.
“Pihak penghantar turut mengesahkan barangan tersebut adalah sebuah komputer riba,” katanya.
Tambahnya, siasatan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.