![](https://media.buletintv3.my/2023/01/CMS-PPZ-2023-01-17T101454.528.jpg)
SEREMBAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Negeri Sembilan merampas 5,100 kilogram minyak masak paket bersubsidi di sebuah premis pembungkus barang kawalan di Metro Park, Sendayan, pagi semalam.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan, berkata dalam serbuan kira-kira jam 10.15 pagi itu, terdapat minyak masak paket bersubsidi yang siap dibungkus berada di lot premis yang tidak didaftarkan di dalam lesen barang kawalan milik syarikat berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, pihak syarikat tiada membuat sebarang permohonan untuk mendaftarkan lot premis berkenaan sebagai tempat penyimpanan barang kawalan iaitu minyak masak bersubsidi,” katanya, hari ini.
Sebanyak 5,100 kg minyak masak paket bersubsidi serta dokumen berkaitan, disita bagi tujuan siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM12,750.