Tumpuan :
Nasional

Bumbung SMK Cheras Jaya runtuh, KPM tunggu laporan JKR

FOTO: KPM

KAJANG: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang menunggu laporan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung kejadian bumbung runtuh membabitkan sebuah blok di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Jaya, di sini, tengah hari semalam.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, pihaknya berharap JKR dapat menyiapkan segera laporan tersebut selepas menjalankan siasatan terperinci untuk tindakan lanjut.

“JKR telah mengadakan mesyuarat susulan insiden bumbung runtuh itu, saya percaya JKR akan menyiapkan laporan tersebut secepat mungkin untuk kos peruntukan baik pulih.

“Pengetua SMK Cheras Jaya telah mengarahkan warga sekolah mengosongkan blok tersebut setelah mendapati struktur bumbung tersebut tidak kukuh dan berbahaya,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat sekolah berkenaan petang tadi.

Hui Ying berkata, sebelum ini pengetua mendapati ada serpihan kecil bumbung telah terjatuh pada jam 12.40 tengah hari, sebelum kawasan itu dikosongkan serta merta.

FOTO: KPM

“Syukur tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden bumbung runtuh kira-kira jam 1.18 petang,” katanya.

Menurut Hui Ying pada Januari lalu, pihak sekolah telah memaklumkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor keadaan struktur bumbung itu.

“Permohonan penyelenggaraan baik pulih bumbung dibuat pada Januari lalu adalah RM450,000, namun kos tersebut dijangka akan meningkat membabitkan penyelenggaraan lebih besar susulan kejadian bumbung runtuh,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan kerosakan pada dua buah kelas, namun sesi pembelajaran pelajar tetap diteruskan dan mereka telah ditempatkan di kelas lain.

“Selain itu, bengkel, makmal sains dan bilik koperasi di blok berkenaan terpaksa ditutup sementara,” katanya.

Loading...
Terkini