PETALING JAYA-Bumbung kereta milik seorang penghantar barang di Shah Alam, Selangor berlubang akibat terkena bahan letupan.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian berkenaan dipercayai dilakukan individu yang mempunyai pengetahuan menghasilkan bom.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata pihaknya menerima panggilan daripada mangsa pada jam 4.01 pagi 17 Februari lalu memaklumkan berlaku letupan di bahagian bumbung kereta miliknya.
Mangsa juga memaklumkan pada jam 3.50 pagi ketika berada di ruang tamu rumahnya, isterinya memberitahu ternampak percikan api di atas kereta mereka.
Mangsa kemudian ke luar rumahnya dan mendapati dipenuhi asap sebelum segera menghubungi polis.
Pasukan forensik IPK Selangor dan forensik Bukit Aman dari Unit Pemusnah Bom turut dipanggil untuk membantu siasatan.
Pemeriksaan mendapati bahan letupan jenis belerang digunakan dan suspek dipercayai menggunakan sumbu untuk memulakan letupan.
Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
Polis telah merakam percakapan 10 saksi dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes ASP Mohammad Khairi di talian 012-2666025 untuk membantu siasatan.