Oleh: Kumaran Rajamoney
CHANGLUN: Bumbung sebuah bangunan di Kolej Matrikulasi Kedah, di sini terbakar dipercayai akibat disambar petir petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Zulkifli Manaf dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian itu sekitar jam 5.21 petang memaklumkan bahagian bumbung di blok C terbakar.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) kemudiannya mengarahkan jentera dan anggota dari Balai BBP Bukit Kayu Hitam ke lokasi kejadian.”
“Setibanya di lokasi, pasukan kami mendapati terdapat kebakaran di bahagian bumbung. Usaha pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran dua pancutan, selain melakukan pemerhatian secara menyeluruh,” katanya.
Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan kejadian kebakaran itu tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
Siasatan katanya akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran serta anggaran kerugian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.