KUCHING: Seramai 40 penghuni 12 rumah di Kampung Tengah Beladin, Saratok dalam Bahagian Betong cemas apabila bumbung kediaman mereka tercabut diterbangkan ribut, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.30 pagi.
Tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok diarah ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan 12 buah rumah sebahagiannya mengalami kerosakan apabila bumbung diterbangkan angin kencang,” katanya lagi.
Semua mangsa menumpang sementara di rumah saudara dan jiran.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Menurut jurucakap itu lagi, turut berada di tempat kejadian bagi memantau keadaan, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); lima kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dua pegawai Baitulmal.