Tumpuan :
Nasional

Bumbung 100 kediaman diterbangkan ribut, lebih 20 pokok tumbang di Nilai

ADUN Nilai, J Arul Kumar (kanan) mengarahkan pembaikan segera dilakukan susulan kerosakan bumbung rumah dan keadaan akibat pokok tumbang akibat ribut petang semalam. – FOTO: Ihsan ADUN Nilai

NILAI: Sekurang-kurangnya 100 kediaman di beberapa lokasi sekitar daerah ini rosak akibat ribut petang semalam, dengan kebanyakannya hilang bumbung akibat diterbangkan angin kencang.

Ribut yang melanda kira-kira jam 6 petang itu turut menyebabkan lebih 20 pokok tumbang termasuk ada yang merintangi jalan dan menghempap kediaman.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, J Arul Kumar berkata, selain Taman Desa Mantin yang paling teruk terjejas dengan kira-kira 50 kediaman rosak, ribut semalam turut menyebabkan kerosakan di Taman Sri Damar, Kampung Baru Mantin, Taman Andalas dan Pekan Mantin.

“Saya sudah mengarahkan kerja pembaikan segera dilakukan bermula pagi ini, manakala pokok tumbang sudah pun dibersihkan pihak bomba, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Skuad Pantas,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, lima kontraktor sudah dilantik bagi tujuan pembaikan bumbung dengan peruntukan disalurkan pejabat ADUN Nilai dan Ahli Parlimen Seremban.

“Saya minta kerja pembaikan bumbung ini dapat disiapkan hari ini juga memandangkan keadaan cuaca hujan ketika ini, jadi kita tidak tak boleh tunggu.

“Saya dapati ada rumah separuh daripada bumbungnya diterbangkan angin. Seingat saya, ini kejadian paling teruk dalam tempoh 15 tahun ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini