KUALA TERENGGANU: Pengunjung Pantai Batu Burok di sini, terutama golongan kanak-kanak, diceriakan dengan kehadiran dua robot yang berupaya melakukan pergerakan ataupun ‘menari’ mengikut rentak muzik.
Robot dinamakan ‘Bumblebee’ dan ‘Herby’ itu menjadi tumpuan orang ramai yang tidak melepaskan peluang untuk merakamkan video serta gambar.
Pemilik robot berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Aiman dari Besut, berkata pertunjukan itu diadakan antara jam 4.30 petang hingga 11.30 malam setiap hari.
“Tiada sebarang bayaran ditetapkan, sebaliknya terpulang kepada sumbangan orang ramai. Pendapatan diperoleh setiap malam dianggarkan kira-kira RM200, bergantung pada jumlah pengunjung ke pantai ini. Ia boleh meningkat hingga RM500 satu malam, terutama pada waktu hujung minggu,” katanya.
Sementara itu, hasil tinjauan mendapati pengunjung Pantai Batu Burok turut disajikan dengan tarikan kereta kuda dan kereta api mini dihiasi lampu berkelipan, selain peluang untuk menunggang kuda.