Tumpuan :
Nasional

Buli UPNM: Tindakan displin terhadap pelaku akan diketahui minggu depan – Sumber

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang meneliti tindakan displin terhadap pegawai kadet yang terlibat dalam kes buli dan dera seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Sumber dalaman memberitahu Buletin TV3, keputusan akan diketahui minggu depan.

“Ya, kemungkinan tindakan displin akan dikenakan terhadap pelaku. Tapi keputusan hasil siasatan dan tindakan selanjutnya akan diumumkan seawalnya minggu hadapan,”jelasnya.

Sementara itu, seorang rakan mangsa ketika ditemui mendakwa, pegawai kadet tahun dua berkenaan cedera di dada dan luka yang dialaminya mulai pulih.

“Memang dia cedera di bahagian dada sebab kena tekap seterika, tapi luka dia dah baik,” katanya.

Dia mendakwa selain pelaku, mangsa turut dipanggil pihak pengurusan berhubung siasatan kes itu.

“Dia cakap dia penat (mangsa), sebab dia kena soal siasat semalam,” ujarnya lagi.

Buletin TV3 turut berjaya menghubungi mangsa, namun pelajar itu enggan mengulas lanjut berhubung kejadian terbabit.

“Saya dah keluar dari masjid, saya dah balik dan tiada di kawasan sini. Kesan (kecederaan) dah hilang,” katanya ringkas kepada Buletin TV3.

Rabu lalu, kenyataan ATM mengesahkan siasatan terperinci berhubung dakwaan seorang pegawai kadet di UPNM menjadi mangsa buli pelajar senior dan cedera dipercayai ditekap seterika.

Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Mohamad Ab Rahman turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kejadian itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini