comscore
Tumpuan :
Nasional

Buli tidak mempunyai tempat dalam penjagaan kesihatan – MMA

Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira. – Presiden MMA

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan untuk mengambil tindakan tegas dalam menghantar mesej yang jelas kepada pembuli bahawa budaya buli tidak mempunyai tempat dalam penjagaan kesihatan.

Presidennya, Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, siasatan rapi dan tindakan tegas yang diambil terhadap mana-mana pihak yang bersalah perlu dipastikan.

“Tindakan juga harus diambil terhadap sesiapa sahaja yang didapati melindungi pembuli.

“Kami menggesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan ini dengan segera.

“Kelewatan boleh mengganggu perkhidmatan di kemudahan penjagaan kesihatan yang terjejas,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya jika pihak terlibat memerlukan cuti bagi mengambil bahagian dalam penyiasatan, penggantian sementara yang sewajarnya perlu dibuat.

MMA bersedia untuk membantu pihak berkuasa jika memerlukan sebarang maklumat lanjut.

Selain itu, MMA menyambut seruan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada semua petugas kesihatan untuk menggunakan saluran sedia ada seperti SISPAA atau platform HelpDoc MMA untuk melaporkan kes buli.

Melaporkan insiden sedemikian penting dalam memastikan tindakan yang sewajarnya dapat diambil selain petugas kesihatan tidak perlu ada rasa takut untuk berbuat demikian.

Sebelum ini media melaporkan, beberapa doktor yang menjadi mangsa buli di sebuah hospital awam di Sabah, tampil berkongsi pengalaman masing-masing dibuli secara verbal dan fizikal, apabila dihambur kata-kata kesat, lucah serta penghinaan kaum, selain pernah diancam senjata tajam jika tidak mematuhi arahan ketua unit.

Malah, mereka sering dimalukan di hadapan pesakit apabila kemahiran profesional mereka diperlekeh secara terbuka oleh doktor pakar.

Pembuli pula bagaikan mempunyai kekebalan apabila tiada tindakan tegas diambil ke atas mereka, selepas aduan kepada pihak atasan, bahkan ketua jabatan memberi amaran akan menukar doktor yang mengadu dibuli ke unit lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini