comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Buli Siber: Sejauh mana kesannya kepada mangsa?


Oleh: Fareez Azman

PETALING JAYA: Kematian pempengaruh media sosial, A.Rajeswary atau dikenali sebagai Esha, 30, di sebuah kondominium di Setapak Jumaat lalu yang dikaitkan menjadi mangsa buli memberi membuka mata semua pihak bahawa isu buli siber perlu dikekang.

Ketika kes itu masih dalam siasatan pihak berkuasa, ada desakan yang mahukan isu buli siber ditangani dengan tuntas.

Menurut kakak kepada mendiang Esha, A.Susila, 34, beliau mahukan keadilan buat adiknya.

“Kita (keluarga) mahukan keadilan buat Esha, dia tidak bersalah. Tetapi dia sudah tiada.

“Cuma saya mohon kepada kerajaan agar dapat ambil tindakan segera supaya tiada lagi mangsa senasib dengan adik saya,” jelasnya ketika ditemui TV3 baru-baru ini.

Ibunya, R.Puspa, 56, pula tidak dapat menahan sebak apabila mengenang kesengsaraan yang dilalui anaknya akibat dibuli di media sosial.

“(Pembuli) Dia cakap macam itu dekat Esha dalam ‘live’, perkataan kotor. Jangan buat lagi orang lain begitu, itu saya minta.

“Cacian, hinaan yang dilemparkan kepada Esha, seolah-olah macam keluarga saya tiada maruah,” ujarnya.

Perit untuk mereka hadam, tetapi itu realiti kejadian menimpa Esha jelas menunjukkan persekitaran dalam talian tidak selamat.

Pakar Psikologi Klinikal Management and Science University (MSU), Prof. Zubaidah Jamil Osman berpendapat, kebanyakan pembuli siber bertindak sedemikian hanya untuk melepaskan sifat agresif mereka.

“Mereka (pembuli) itu sendiri adalah mangsa buli dan melepaskan sifat agresif kepada orang lain.

“Satu lagi punca, kerana mereka rasa selamat untuk buli dalam talian ini sebab buli dalam talian tak nampak dan berselindung di sebalik akaun palsu,” jelasnya.

Sedar atau tidak, hanya di hujung jari, kata-kata kesat serta ancaman melalui platform media sosial boleh mengubah diri seseorang menjadi pembuli.

Hakikatnya, kesannya, mangsa trauma, cemas, takut, tekanan perasaan sehingga kemurungan dan ada yang bertindak di luar batasan manusia.

Pengarah Pusat Pembangunan Profesional Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Ts Dr Mira Kartiwi pula mendedahkan, segelintir kanak-kanak seawal usia 6 tahun juga terjebak dengan kegiatan ini.

Ia berpunca akibat penggunaan media sosial tidak terkawal, bermula dari rumah.

“Saya ada bertanya kepada kanak-kanak ini, berapa lama mereka menggunakan media sosial. Ada yang mengatakan 6 hingga 8 jam dihujung minggu.

“Lebih mengejutkan, apabila bertanya berapa lama ibu bapa mereka menggunakan media sosial, ada yang memberitahu menjangkau 12 jam,” katanya.

Justeru, selain aspek perundangan jelasnya, program intervensi serta kesedaran di kalangan ibu-bapa, serta masyarakat perlu diperhebatkan.

Agar generasi muda lebih dilindungi daripada menjadi mangsa mahupun pembuli.

“Momentumnya sudah ada, cuma mungkin secara kolektif belum ada tindakan yang konkrit,” jelas Mira Kartiwi lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini