Tumpuan :
Nasional

Buli rakan hingga cedera parah, 12 pelajar UMT dicekup

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dilaporkan dibuli 12 pelajar universiti itu sehingga mengalami kecederaan teruk.

Kejadian berlaku pada Ahad lalu, di Kolej Kediaman Pelajar Lelaki, kira-kira jam 1 hingga 5 pagi.


AI Ringkas

  • Kes Buli dan Kecederaan: Seorang pelajar UMT berusia 21 tahun dilaporkan dibuli oleh 12 pelajar lain di Kolej Kediaman Lelaki, mengalami kecederaan serius akibat dipukul, ditendang, dan dipukul dengan objek tumpul. Mangsa kini dirawat di hospital dengan kesan lebam dan kecederaan dalaman.

  • Siasatan dan Tindakan Polis: Polis telah menahan 12 suspek, merampas senjata yang digunakan, dan merekodkan keterangan pegawai perubatan. Mahkamah Kuala Terengganu membenarkan reman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

  • Respon Keluarga dan Universiti: Ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis, namun pihak Universiti Malaysia Terengganu masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung insiden ini.


Mangsa, berusia 21 tahun, pelajar Jurusan Perakaunan, dipercayai dipukul secara bergilir-gilir, dicekik, ditendang, ditumbuk, dan dipukul dengan objek tumpul.

Mangsa kemudiannya menghubungi ibu-bapanya yang menetap di Melaka, sebelum kedua ibu bapa mangsa tiba di Kuala Nerus pada Isnin dan membawa mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

Ketika ini mangsa di tahan di wad hospital itu untuk rawatan lanjut.

Ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis bersabit kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, semalam.

“Saya sudah membuat laporan polis dan saya serahkan semuanya kepada pihak polis untuk ambil tindakan dan beri kenyataan”.

“Ketika ini anak saya masih dalam rawatan dan masih mengunggu laporan MRI bersabit kecederaannya”, katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendent Wan Mohd Zaki Wan Ismail, dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu.

Polis bahagian siasatan jenayah IPD Kuala Terengganu telah menjalankan siasatan dan menahan 12 suspek terbabit.

Senjata yang digunakan oleh suspek turut dirampas di kolej kediaman pelajar tersebut.

Selain itu, polis turut merakam percakapan pegawai perubatan yang merawat mangsa.

Hasil siasatan mendapati, terdapat kesan lebam dan kecederaan dalaman akibat dipukul oleh objek tumpul pada bahagian lengan kiri dan kanan, pinggang sebelah kanan, dada, bahagian perut dan kaki sebelah kanan mangsa.

Ke semua suspek di bawa ke Mahkamah Kuala Terengganu hari ini untuk permohonan reman.

Mahkamah telah membenar ke semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu.

Kes disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, pihak Universiti Malaysia Terengganu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan bersabit perkara itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini