KUALA LUMPUR: Lebih 1,200 sumbangan berbentuk barangan makanan dan juadah berbuka disumbangkan kepada golongan miskin bandar dan penduduk sekitar Kampung Baru di sini, hari ini.
Barangan makanan itu disumbangkan oleh Buletin FM dengan kerjasama Usanita Sdn Bhd dan Parlimen Titiwangsa menerusi program Ramadan Madani: Titipan Kasih dan diagihkan di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Hasan, berkata sejumlah 220 bakul makanan merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, bihun, susu, garam dan gula disumbangkan oleh syarikat itu serta Parlimen Titiwangsa kepada golongan miskin bandar.
Selain itu, katanya, sejumlah 1,000 juadah pek makanan untuk berbuka puasa disumbangkan kepada penduduk di sekitar Masjid Jamek Kampung Baru.
“Kita memilih Kampung Baru kerana fokus kita adalah membantu golongan miskin bandar dan asnaf sebagai sebahagian program sumbangan sempena Ramadan yang dilaksanakan setiap tahun.
“Selain program hari ini, kita juga akan memperluaskan sumbangan ini kepada golongan mahasiswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Sabtu ini.
“Semoga projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dapat meringankan sedikit beban yang ditanggung golongan yang memerlukan, dengan hasrat kita untuk membantu dan berkongsi rezeki,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Jamek Kampung Baru di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Program sumbangan yang bermula selepas selesai solat Asar itu turut menyaksikan kehadiran pengacara terkenal, Awal Ashaari dan selebriti, Zoey Rahman, selain penyampai radio Buletin FM, Izwan Azir dan Marsila Hassan yang bersama-sama mengagihkan bakul makanan dan pek iftar.