Oleh : Zaid Shah Hemat Zulkarnain
PETALING JAYA: Selepas dua tahun bersiaran menggunakan nama Buletin FM, bermula hari ini, stesen radio di bawah naungan Media Prima Audio (MPA) ini bertukar nama kepada Kool 101.
Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, Kool 101 akan menampilkan pengisian yang lebih segar dan intelek dengan perbincangan isu semasa dan sosial.
“Penjenamaan semula itu adalah bersesuaian dengan situasi semasa dan ingin memacu stesen itu ke arah yang lebih santai,” katanya.
Tambah Nazri, pihaknya mengambil inisiatif ini untuk mendekati sasaran kumpulan pendengar yang lebih luas meliputi golongan berusia 25 tahun sehingga 44 tahun.
Pembaharuan ini menampilkan segmen serta gandingan baharu penyampai Kool 101 yang bakal memberi kelainan dan pembaruan kepada pendengar.
Untuk segmen pagi, Pagi on Point akan menggandingkan Muaz Mohamed dan Haiza Hanafi bermula 6 pagi hingga 10 pagi manakala segmen petang iaitu PM Kool 101 akan menampilkan Hanif Miswan dan Marsila Hassan bermula 2 petang hingga 7 malam.
Nazri ditemui dalam sidang media pertukaran nama Buletin FM kepada Kool 101 di Hotel Perdana, Kuala Lumpur hari ini.
Dalam sidang media yang sama, MPA turut mengumumkan stesen radio Hot FM berjaya menjadi pilihan nombor satu rakyat Malaysia, hasil kaji selidik yang dilaksanakan oleh Nielsen Consumer & Media View (CMV).
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan pada Januari 2022 sehingga Disember 2022 yang lalu, Hot FM berjaya mencatatkan pendengar mingguan sebanyak 3.8 juta.
Ini sekali gus menjadikan stesen radio berkenaan sebagai stesen radio nombor satu negara dengan peningkatan sebanyak 14% atau 464,000 pendengar.