BENTONG: Hujan yang sangat lebat dan berterusan beberapa jam malam tadi mengakibatkan banjir kilat di Bukit Tinggi.
Menurut Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, banjir kilat itu melanda kawasan sekitar Balai Polis Bukit Tinggi kira-kira jam 10 malam.
“Saya telah ambil maklum terjadinya banjir kilat dan hujan lebat di kawasan Bukit Tinggi, area Balai Polis Bukit Tinggi dan sekitarnya,” katanya menerusi laman X.
Saya telah turun ke kawasan banjir di Bukit Tinggi dan bertemu dengan penduduk di sini untuk keadaan terkini. Walaupun air kelihatan surut, dan kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan, air daripada atas bukit masih lagi turun dengan laju.
Saya juga bertemu dengan OCS Balai… pic.twitter.com/vMt7EyUrm4
— Rara 🇲🇾 (@youngsyefura) November 25, 2023
Ujarnya, agensi kerajaan yang berkaitan dihubungi bagi melaksanakan kerja-kerja menyelamat serta pembersihan segera.
Beberapa laluan juga ditutup buat sementara ekoran air sangat deras yang membahayakan lalu lintas.
Jalan di kawasan Janda Baik juga terputus selain berlaku tanah runtuh yang mengakibatkan pokok tumbang serta menghalang laluan.
Kejadian banjir kilat itu turut tular di laman sosial.
Hujan yang sangat lebat dan berterusan beberapa jam malam tadi mengakibatkan banjir kilat di Bukit Tinggi.
Sumber: Media Sosial pic.twitter.com/LDKlrqE9ww
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 25, 2023
Rakaman video menunjukkan arus deras turun dari kawasan tinggi hingga membanjiri kawasan rendah di pekan Bukit Tinggi.
Sementara itu, pengusaha chalet, rumah inap desa serta pengunjung yang berkhemah di kawasan sekitar diminta sentiasa berwaspada selain mematuhi dan memantau arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
Insiden sama pernah berlaku Februari lalu akibat hujan lebat sehingga membawa kepada kejadian banjir lumpur.