KUALA LUMPUR: Polis Bukit Aman menyerbu secara serentak lima premis pelacuran di sekitar ibu negara dan Genting Highland, yang dipromosikan melalui dua laman sesawang, petang semalam.
Serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu dilakukan selepas pemantauan dan risikan dijalankan sejak seminggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, modus operandi sindiket ini adalah menggunakan dua laman sesawang sebagai medium mempromosikan aktiviti pelacuran oleh wanita dari Vietnam, Thailand, Laos dan Indonesia secara dalam talian.
“Dalam serbuan bermula jam 3 petang ini, pihak polis menahan 67 individu di kelima-lima premis di Kuala Lumpur dan Genting Highlands, Pahang.
“Melalui kegiatan pelacuran yang dikesan ini juga mendapati pelanggan akan ditawarkan bayaran sebanyak RM1,200 untuk sesi selama empat jam bagi setiap perkhidmatan seks.
“Sekiranya persetujuan dicapai, pelanggan akan diarahkan untuk ke alamat premis hotel atau rumah urut untuk melakukan aktiviti seks iaitu di lima lokasi yang diserbu,” katanya kepada BH, hari ini.
Mohd Shuhaily berkata, pihaknya turut menahan empat individu termasuk dua wanita tempatan yang berperanan sebagai pengendali dua laman sesawang khidmat seks berkenaan.
“Mereka juga menguruskan tempat pelanggan melalui aplikasi Whatsapp dan Telegram.
“Turut ditahan dua lelaki tempatan yang berperanan sebagai ‘transporter’ (penghantar) untuk menghantar dan mengambil pelacur perkhidmatan seks,” katanya.
Secara keseluruhan Operasi Noda yang membabitkan 35 pegawai dan anggota ini membawa kepada penahanan 56 wanita warga asing berusia antara 21 hingga 54 tahun.
Antara rampasan yang dibuat dalam serbuan adalah wang tunai RM11,490, dua unit perakam kamera litar tertutup (CCTV), kondom, tuala, tisu, minyak urut dan 15 telefon bimbit.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan, Seksyen 372B, Seksyen 373, Seksyen 372(1)(e) dan Seksyen 372(1)(f) akta sama.
Kes yang sama turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/53 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tangkapan kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Cheras dan Bentong, Pahang untuk tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.