KUALA LUMPUR: Bukit Aman mengesahkan menahan lima individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah stesen penyiaran di Sarawak kerana disyaki terbabit kes pengubahan wang haram menerusi Op Ragada, hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata tangkapan ke atas kesemua mereka ekoran daripada satu laporan polis yang diterima pada Oktober lalu.
Menurut beliau, pengadu memaklumkan mengesan beberapa transaksi mencurigakan membabitkan beberapa akaun bank yang dikesan berlaku antara 2017 hingga September tahun lalu.
“Susulan itu, kita menahan lima individu termasuk seorang wanita dan seorang lelaki berjawatan CEO sebuah syarikat serta dua anaknya dan dua lagi individu dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang dan Sarawak.
“Kesemua mereka berusia antara 26 hingga 62 tahun ditahan untuk membantu siasatan dan tangkapan dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman,” katanya kepada BH, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya siasatan mendapati berlaku jenayah pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan mencurigakan dan kesalahan jenayah pecah amanah oleh pengarah syarikat.
“Suspek juga disyaki melakukan jenayah tipu tender selain dan menganugerahkan tender kepada diri sendiri serta ahli keluarga.
“Hasil daripada serbuan yang dijalankan, pasukan AMLA juga berjaya merampas, membekukan dan menyita pelbagai aset seperti kenderaan, akaun bank dan dokumen dianggarkan bernilai RM17.4 juta,” katanya.
Razarudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.