KUALA LUMPUR: Polis telah merakam percakapan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad susulan kenyataan beliau mengenai institusi diraja serta proklamasi orang Melayu, hari ini.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata sepasukan polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman merakam percakapan Mahathir jam 10.30 pagi tadi.
“Rakaman percakapan ke atas bekas Perdana Menteri itu dilakukan di Yayasan Albukhary, di sini mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.
“Siasatan dijalankan mengenai kenyataan Mahathir yang berunsur penghinaan terhadap institusi diraja dan proklamasi orang Melayu,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Beliau bagaimanapun berkata, kes berkenaan pada masa ini masih di peringkat siasatan.Terdahulu Ketua Penerangan PEJUANG, Rafique Rashid, memaklumkan beliau menemani bekas Ahli Parlimen Langkawi itu sepanjang proses rakaman percakapan dilakukan di Yayasan Albukhary.
“Mahathir menyatakan beliau sedia dituduh di mahkamah dan menyatakan akan menjawab soalan-soalan di mahkamah,” katanya.