Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Bukit Aman hubungi FBI, INTERPOL kesan suspek dan motif ancaman bom

KUALA LUMPUR: Bukit Aman menolak andaian, ancaman bom diterima lebih 50 sekolah di seluruh negara sejak awal minggu ini mempunyai kaitan dengan ketegasan Malaysia dalam isu Palestin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif hantaran e-mel ancaman itu dibuat, namun menolak ia ada kaitan dengan pendirian negara dalam isu Palestin.

Katanya, PDRM bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) dan Polis Antarabangsa (INTERPOL) dalam usaha mengesan suspek dan mengenal pasti motif ancaman.

Anggota polis melakukan kawalan keselamatan di persekitaran sekolah swasta di Seremban pada Rabu lalu, susulan ancaman bom

“Kita sedang mengesan suspek dengan bantuan pihak berkuasa lain, selain mengenal pasti motif ancaman. Setakat ini, kita sudah menerima 51 laporan kes ancaman bom ini,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mengakui kes berkenaan sukar untuk disiasat kerana membabitkan jenayah siber, beliau memaklumkan, siasatan awal mendapati ancaman itu dihantar melalui e-mel, pada waktu sama oleh pengirim sama, menggunakan nama ‘Taktstorer’.

“Kes seperti ini pernah berlaku di Trinidad and Tobago serta Jamaica. Kita memandang serius dan PDRM akan memantau keselamatan setiap sekolah yang menerima ancaman berkenaan,” katanya.

Memperincikan ancaman yang diterima, Mohd Shuhaily berkata, laporan polis dibuat di sembilan negeri membabitkan sekolah antarabangsa dan swasta serta sekolah bantuan kerajaan, tertinggi di Selangor dengan 18 kes.

“Daripada laporan diterima di Selangor, 11 kes membabitkan sekolah antarabangsa dan tujuh sekolah swasta. Selain itu, tujuh laporan diterima di Kuala Lumpur, enam di Johor, lima di Sarawak, empat di Pulau Pinang, masing-masing tiga di Negeri Sembilan, Perak dan Kedah serta dua di Sabah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dipetik berkata, akaun e-mel menggunakan nama ‘Taktstorer’ itu dikenal pasti berasal dari Cyprus dan alamat protokol internet e-mel itu dari Finland yang sering berubah.

Hasil siasatan PDRM mendapati negara lain turut mendapat ancaman bom palsu seperti Jamaica, Trinidad and Tobago, Jerman dan AS.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini