Oleh : Ridhwan Rusydi Azri Roslan
SHAH ALAM: “Saya zoom sedikit sahaja, tak sangka pula boleh tular hingga mengundang kekecohan”
Demikian reaksi pekerja pembinaan, yang hanya ingin dikenali sebagai Izaha berikutan dakwaan terdapat ular gergasi di kawasan perumahan Elmina dekat Shah Alam yang rakamannya tular di media sosial, kelmarin.
Dia turut memohon maaf kerana tidak menyangka video perkongsiannya itu menimbulkan pelbagai reaksi orang ramai.
Berkongsi cerita ketika kejadian itu, dia berkata dia sedang melakukan kerja-kerja pemasangan paip sebelum rakan sekerjanya yang bekerja sebagai pekerja landskap terlihat kelibat ular menjalar ke atas landskap di sebuah bulatan.
Tanpa melengahkan masa dia terus merakam kehadiran haiwan berbisa itu dan mengambil beberapa keping gambar bagi tujuan laporan keselamatan.
“Sebenarnya semasa saya sedang melakukan pekerjaan di sebuah kawasan di Elmina ini, kawan saya beritahu terlihat ular di kawasan roundabout itu. Jadi bila ular tu naik ke atas, saya pun zoom sedikit sahaja, untuk menampakkannya dengan lebih jelas.”
“Saya rakam bagi tujuan keselamatan. Jadi sebenarnya ia tidak besar sangat seperti video yang ditularkan itu”. katanya ketika dihubungi Buletin TV3.
“Saya difahamkan ada kakitangan pergi ke kawasan itu dan menjumpai ular berkenaan, kata mereka, ular itu sudah pun ditangkap. Tetapi saya tidak tahu siapa yang tangkap”
Ujarnya lagi, dia tidak berniat menimbulkan ketakutan kepada penduduk sekitar kerana rakaman itu menampakkan saiz ular gergasi.
“Di sini saya nak buat permohonan maaf. Saya bukanlah Youtuber atau apa-apa, saya guna media sosial pun jarang sekali. Jadi kalau boleh, saya nak minta maaf terutama kepada penduduk di Elmina.”
“Disebabkan video dan gambar itu, habis berlaku kekecohan. Saya minta maaf.”
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan penemuan ular berkenaan.
Semalam, Buletin TV3 melaporkan sebuah video tular yang menggemparkan penduduk Elmina dengan kehadiran seekor ular gergasi yang dikongsikan seorang pemilik akaun Twitter, kelmarin.