KUALA LUMPUR: Pihak Jasmine Food Corporation Sdn Bhd (JFC) menafikan dakwaan beras tempatan dibungkus semula menjadi beras import seperti yang tular di media sosial.
JFC berkata, pihaknya mengesahkan video yang tular dirakam di dalam kilang Jasmine di Tunjang, Alor Setar, Kedah pada Sabtu lalu.
Menurutnya, dakwaan bungkusan beras yang dibuka adalah beras tempatan seperti yang dinyatakan di dalam video terbabit adalah tidak benar sebaliknya ia adalah Beras Putih Import (BPI).
“Pembungkusan semula BPI adalah satu proses normal apabila berlaku kejadian kampit pecah atau beras berhabuk sewaktu kampit beras berada di kedai dan pasar raya.
“Proses ini dibuat untuk memastikan kualiti beras keluaran JFC sentiasa berada di dalam keadaan yang baik sewaktu dibeli oleh pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan
Katanya, JFC mengamalkan polisi gantian semula kepada pemborong bagi beras yang tidak menepati kualiti dan mengikut piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat palsu atau membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kekeliruan.
“Pihak JFC tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang cuba memburukkan nama baik syarikat,” katanya.